Wednesday, January 16, 2008

Panas


PANAS. Itulah yang saya rasakan selepas tiga hari berada di sini. Itulah juga yang saya katakan bila dua lagi rakan setugas sampai di Athens - Lazarus Rokk dan Rizal Hashim, semalam. Athens mengalami musim panas melampaui jangkaan rakyatnya sendiri. Langitnya tidak berawan jadi panahan matahari memancar terus ke muka buminya. Maksudnya terus dari umbun-umbun sampai ke kaki. Sepanas Malaysia, saya rasa panas lagilah di sini. Indeks cuaca semalam mencecah 35 celcius. Mujurlah Athens mula berangin. Sejuk sedikit kulit yang sudah mula terasa perit. Bila lihat di cermin, kulit saya bertambah hitam, manisnya sudah hilang. Lumrahnya dalam cuaca sebegini, hati cepat naik panas. Apa tidaknya pemandu teksi yang juga penduduk tempatan sendiri tidak tahu di mana lokasi venue pertandingan. Kering tekak saya bila setiap kali cuba terangkan kedudukan lokasi-lokasi ini, jawapannya tidak tahu. Dibantu dengan peta juga, tidak tahu. Mulalah teksi yang membawa saya mundar mandir. Sekejap berhenti bertanya pada pejalan kaki dan polis yang mengawal trafik. Meter pula berjalan seperti air. Bila akhirnya sampai ke destinasi, dia tepuk dahi sambil membebel dalam bahasa Greek. Katanya peta yang disediakan oleh penganjur yang saya ambil di Pusat Media Utama (MPC) salah. Tidak tepat dan mengelirukan. Harga tambang pula buat hati bertambah panas 15 Euro (kira-kira RM70). Itulah tambang teksinya.Saya tahu dia kelentong. Biasalah kehadiran sukan terbesar seperti Sukan Olimpik ini membawa laba kepada penganjur, peniaga, penukar mata wang asing dan tentunya pemandu teksi. Ketika Malaysia menganjurkan Sukan Komanwel pada 1998, banyak rungutan daripada petugas media luar negara mendakwa tambang teksi mahal. Mana tidaknya dari KLCC ke Stadium Bukit Jalil tambangnya melebihi RM50. Tidak logikkan. Namun tidak semua pemandu teksi kita begitu. Ramai jujur dan bertimbang rasa tetapi ada juga segelintir yang kaki sembelih. Dalam bajet yang sederhana, saya terpaksa berjimat, apa lagi bila terasa nilai RM kita terlalu kecil di sini. Jika tiada pilihan dan venuenya dalam lingkungan 3-4km, saya rela menapak. Panaspun panaslah. Itu baru tambang teksinya belum lagi kad pra bayar telefon, caj penggunaan internet dan perkhidmatan lain menggunakan nilai mata wang Euro. Athens adalah pengalaman pertama saya di Sukan Olimpik. Bagi penulis sukan, liputan temasya paling tua dan berprestij ini adalah kemuncak dalam karier seorang wartawan. Saya mahu abadikan kenangan ini dalam sejarah hidup saya.Biarpun pernah dihantar membuat liputan Sukan Komanwel Manchester 2002, Sukan Olimpik lain dari yang lain.Tetapi jika setiap hari terpaksa melalui keadaan begini, sedikit sebanyak hilanglah serinya. Saya ada 25 hari lagi di sini. Saya harap hari-hari berikutnya bila kejohanan sudah bermula, keadaan menjadi bertambah selesa.Namun dalam hati yang panas tetap ada sejuknya. Seronok bila melihat gelagat manusia di depan mata. Musim panas umpama dijadikan khas untuk lelaki dan wanita Greek yang berdarah campur, bertubuh kecil, sederhana tinggi dan bermata hijau dan biru, cukup mengasyikkan.Hati lelaki mana tidak cepat mendidih bila yang melintas di depan mata berpakaian singkat, ketat dan jarang sambil menjeling manja. Itulah maksud saya - Athens adalah segala-galanya PANAS!

No comments: